Kepada para suami, sebelum anda berniat untuk 'pasang' dua dan seterusnya, fahamilah artikel dibawah dengan sebaik mungkin. Suami ibarat sebagai pemimpin kecil dan sebagaimana yang kita maklum, pemimpin adalah satu tanggungjawab berat didunia dan berat juga pengadilan di akhirat. Jangan kerana tertipu dengan kecantikan palsu seorang wanita, para suami ini menjeruskan diri ke lembah kehinaan. Walaupun setiap kejayaan lelaki berdirinya seorang wanita di belakang, tetapi tersilap memilih wanita akan menukarkan kejayaan tersebut kepada sebuah penghancuran. Wallahualam.
MENCARI PENYELESAIAN DENGAN
MAKSIAT
“Peritnya masalah rumahtangga
kami ini,” keluh seorang suami.
“Kamu sudah minta bantuan
Allah?” soalan untuk beliau.
“Puas saya berdoa, solat
hajat…!” katanya.
“Kamu tahu mengapa doa dan
solat hajat kamu tidak dipedulikan Allah?”, soalan seterusnya.
“Mengapa?”, soal beliau.
“Tatkala kamu berdepan dengan
masalah, kamu berhubungan dengan perempuan itu di belakang isteri kamu!
Pedulikah Allah kepada doa pelaku maksiat?” soalan terakhir buatnya.
Ketika seorang suami tidak
berpuas hati dengan keadaan isteri dan perkahwinannya, peringkat ini sering
juga menyaksikan suami berhubungan dengan perempuan lain. Sama ada hubungan itu
di pejabat, di internet, di lokasi program, atau di mana sahaja, apakah definisi
Islam kepada perhubungan itu?
Ia adalah maksiat!
Lebih buruk lagi, maksiat itu
merangkumi keingkarannya terhadap Allah, dan kezaliman ke atas manusia (isteri
dan anak-anak).
Biar pun hubungan itu nanti
mungkin berkesudahan dengan perkahwinan, sama ada secara poligami atau dengan
menceraikan isteri pertama terlebih dahulu, hubungan sebelum berkahwin itu
tetap suatu maksiat yang tidak terhapus dengan perkahwinan tersebut.
Perkahwinan bukan penghapus dosa. Hubungan sulit sang suami dengan perempuan
berkenaan adalah dosa, manakala perkahwinan adalah subjek yang berasingan.
Dosa dan maksiat hanya terubat
dengan taubat!
Justeru kita ingin tahu, berapa
ramai suami yang berjaya mengendalikan kes poligami tanpa pendahuluan ‘hubungan
sulit’ berupa maksiat ini? Jika anak teruna dan dara dibantu oleh keluarga dan
saudara mara dalam mengatur risik, pinang, tunang dan akad nikah sebagai jalan
beradat lagi bersyariat dalam berumahtangga, bagaimana pula dengan perkahwinan
golongan ‘bijak pandai lagi berpengalaman’ ini? Ketika bertemu dua insan ini,
siapakah yang ketiga di antara mereka?
Maksiat kepada Allah, dan zalim
ke atas isteri dan anak-anak, dosa ini tidak terhapus dengan kejayaan berkahwin
yang didambakan itu. Ia wajib dengan taubat.
Syarat taubat, harus dengan penyesalan,
juga koreksi atas kesan perlakuannya di dalam maksiat itu.
Itu seperkara.
TERTIPU OLEH PERASAAN
Tatkala seorang suami
berkenalan dengan cinta kedua, isteri yang sedia ada sering kelihatan buruk
celanya. Serba serbi tidak kena. Cinta kedua itulah ‘penemuan sejati’ yang
terlewat tapi belum terlambat.
Suami terlupa bahawa
hubungannya dengan isteri pertama banyak dibelenggu oleh tekanan dan bebanan.
Ia datang dari tanggungjawab yang sudah terpikul di atas bahu mereka berdua.
Anak-anak, harta benda, kewangan dan pelbagai lagi. Semua itu menjadi sumber
tekanan, dan mustahil hubungan nampak indah dalam keadaan masing-masing
tertekan dan terbeban.
Akan tetapi segalanya nampak
indah pada cinta kedua, kerana di situlah ditemui ketenangan.
Bergaduh dengan isteri di
rumah, lari kepada cinta sejati yang setia.
Luahkan segalanya kepada dia.
Dia sungguh memahami.
Tetapi suami itu terlupa bahawa
hubungan cinta kedua itu indah kerana ia belum datang dengan tanggungjawab.
Belum ada komitmen. Hanya cinta dan perasaan yang cantik-cantik belaka. Justeru
tidak rasional untuk sang suami membandingkan cinta keduanya dengan isteri
pertama di dalam rumah. Amat salah alasan suami bahawa beliau yakin kekasihnya
bakal membahagiakan, tanpa meneliti akan perihal tanggungjawab yang bakal
mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA (kali berikutnya).
Berkahwin kerana perasaan tanpa
mempedulikan tanggungjawab dan bebanan, adalah kebudak-budakan yang mengundang
kehinaan. Kematangan usia gagal mematangkan pertimbangan.
SI MANIPULATIF ITU
Pertimbangan ketiga pula harus
dilihat kepada ‘pihak ketiga’ itu.
Jika hubungannya dengan lelaki
itu, tanpa pengetahuan bahawa kekasihnya adalah suami orang, maka itu suatu
kecuaian yang besar. Salahnya adalah atas kecuaian tersebut.
Akan tetapi jika beliau muncul
untuk memanipulasi masalah yang sedang membelenggu seorang suami dan isteri,
maka besarlah dosa dan celanya atas perbuatan itu. Malah lebih menghairankan
kita, bagaimanakah seorang lelaki boleh memandang perempuan seperti ini sebagai
pasangan ganti kepada isteri yang halal di rumah itu? Baikkah perempuan yang
mengambil peluang dari mehnah yang sedang membelenggu suami dan isteri itu?
Tatkala mereka berdua sedang
berjuang untuk menyelamatkan sebuah bahtera dengan anak-anak yang antara timbul
dan karam itu, bagaimanakah rupa hati seorang perempuan yang datang menawarkan
perahu ‘penyelamat’ untuk si lelaki dengan memejamkan mata terhadap nasib
perempuan dan anak-anak di dalam kapal yang terumbang ambing itu? Apakah nilai
iman dalam dirinya?
Daripada Abu Hurairah katanya
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu saling berdengki, saling memuji barang
untuk melariskannya, saling membenci, memulau dan jangan antara kamu yang
membeli atas pembelian orang lain, hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang
bersaudara. Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak
menzaliminya, tidak menghinanya. Taqwa itu di sini-baginda mengisyaratkan
kepada dadanya sebanyak tiga kali-. Cukuplah seseorang itu melakukan kejahatan
dengan menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim darahnya, hartanya dan
maruahnya haram ke atas muslim yang lain. (Muslim)
Apakah rasional seorang lelaki
mengahwini seorang perempuan yang tiada belas terhadap seorang perempuan lain
yang memiliki hati dan diri sepertinya? Bagaimana pula dengan anak-anak itu?
Sungguh, tiada justifikasi terhadap perbuatan sakit menyakiti seperti ini
kecuali kerana masing-masing saling memandang dengan pandangan nafsu.
Seperkara yang harus disedari
oleh para suami, talak dan poligami bukannya HAK milik mereka, tetapi
TANGGUNGJAWAB untuk ia diuruskan sebaik mungkin. Memikirkan bahawa talak serta
poligami itu sebagai HAK akan secara sedar atau tidak sedar menjadikan suami
tidak memberi sepenuh diri ke arah menyelesaikan krisis rumahtangga yang sedang
dihadapinya.
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan
hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan
kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir. [Al-Room 30: 21]
Mawaddah itu adalah cinta yang
terhasil, kesan dari usaha menyemainya di dalam jiwa antara suami dan isteri.
Cinta tambah, bagai yang digelarkan oleh M. Quraish Shihab dalam risalah
‘Cabaran Kehidupan Rumah Tangga‘ karangannya. Mawaddah hanya ada antara suami
dan isteri, sebagai cinta yang diperjuangkan dalam sebuah rumahtangga. Segala
susah payah yang diharungi dengan jiwa memberi oleh suami dan isteri
menyuburkan mawaddah ini… sesuatu yang seharusnya mekar dalam sebuah
perkahwinan lewat usia.
Namun mawaddah yang
mengosongkan diri dari kecenderungan mengungkit kekurangan di antara suami dan
isteri, terlalu ideal untuk berdiri sendiri. Manusia kaya dengan kelemahan,
sebagaimana kaya juga dengan keinginan dan kemahuan. Justeru di antara tanda
kebesaran Allah SWT yang diterbitkan dalam sebuah perkahwinan, adalah mawaddah
yang diiringi rahmah. Sifat rahmah ini menghiasi jiwa seorang suami secara
khusus, terhadap kecenderungan dirinya kepada keinginan dan keperluan.
Suami yang beristerikan seorang
perempuan yang mandul, atau hilang upaya seksual kerana menopause sebagai
misal, mungkin boleh mengambil pilihan poligami untuk memenuhi naluri kebapaan
dan kelelakiannya yang diingini. Tetapi dia sedar, bahawa pilihan itu pedih
buat sang isteri. Justeru sifat rahmah itulah yang membendung keinginan
tersebut. Sifat belas ihsan yang tidak sampai kepada hatinya untuk menyakiti
isteri atas kekurangan yang berlaku. Demi mawaddah antara mereka, rahmah
menjadi bekal pengorbanan seorang suami.
Dan isteri yang terhias jiwanya
dengan sifat yang rahmah itu jua, membangunkan kesediaan yang sama untuk belas
ihsan terhadap suami yang juga punya hati dan perasaan. Di sinilah ujian kepada
mawaddah dan rahmah antara suami dan isteri.
Suami yang awal-awal lagi
membelakangkan isteri dan mendampingi wanita lain di luar daerah Halal, tiada
mawaddah dan tiadalah rahmah antara mereka. Hanya murka Allah yang menjadi duri
siang dan malam saban ketika.”
kreadit: saifulislam
No comments:
Post a Comment